Apabila seseorang itu memperoleh cucu, kita pasti akan memanggil beliau dengan gelaran datuk. Gelaran ini merupakan satu gelaran yang akan pasti diperoleh oleh kita tidak kira lambat atau cepat. Namun, bukan gelaran datuk dalam kekeluargaan yang ingin diceritakan, tetapi Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Dato’.
Kita dapat lihat pada hari ini, ramai individu yang memperoleh anugerah ini tidak kira yang bergiat aktif dalam sukan, akademik, politik, hiburan dan sebagainya. Anugerah ini diberikan adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara yang tercinta ini.
Walau bagaimanapun, kita sering kali mengalami kekeliruan untuk menulis gelaran ini sama ada untuk menulis Datuk atau Dato’ dalam penulisan kita. Kekeliruan ini merupakan perkara biasa dan saya sendiri mengalaminya. Hal ini terjadi kerana kita tidak mengetahui siapa yang telah menganugerahkan anugerah ini kepada mereka.
Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan, yakni oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai sultan dan diketuai oleh Yang Dipertua seperti Melaka, Sarawak dan Sabah.
Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaranDatuk ialah;
Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sharifah Aini, Datuk Shah Rukh Khan dan lain-lain.
Sementara itu, Dato’ pula ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja.
Contoh penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang membawa gelaranDato’ ialah;
Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Mizal Zaini, Dato' Idris Md Yusof dan lain-lain
Oleh hal demikian, kita seharusnya dapat membezakan penggunaanDatuk dan Dato’ apabila membaca sedikit penerangan di atas.
No comments:
Post a Comment