Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.
Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kapada masalah kes buli ini.
Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.
Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.
Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.
Pepatah ada mengatakan ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.
Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama- sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.
Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.
Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
Sunday, September 4, 2011
NOTA ISTILAH SASTERA
NOTA ISTILAH SASTERA
A. Konsep penting yang perlu diketahui dalam komponen sastera:1. Personafikasi:
Personafikasi bermaksud “member unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda hidup”.
Contoh:
i. Angin sepoi bahasa di pinggiran pantai itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku riang. (melambai/ riang ialah perbuatan/sifat manusia)
iii. Dingin malam menggigit tulangku. (menggigit ialah perbuatan manusia)
2. Metafora:
Metafora bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung tanpa menggunakan kata bandingan iaitu seperti, bak, umpama dan sebagainya”.
Contoh:
i. Rambut puteri itu mayang mengurai dan cantik sekali.
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
iii. Merah darah mengalir di tubuhku.
3. Simile:
Simile bermaksud “perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain dengan menggunakan kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan sebagainya”.
Contoh:
i. Hatinya hampa bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
iii. Dia diam bak tahu apa yang tersirat di fikiranku.
iv. Wajahnya sehebat peribadinya.
4. inversi:
Inversi ialah “pembinaan struktur frasa ayat atau ayat yang terbalik”.
Contoh:
i. Semalam petang dia datang menjengukku. (sepatutnya “petang semalam”)
ii. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya. (sepatutnya “cuaca panas”)
iii. Kopi secawan diteguknya puas-puas. (sepatutnya “secawan kopi”)
5. Singkop:
Singkop bermaksud “singkatan perkataan”.
Contoh:
i. “Dia dah datang semalam, Pak Abu” kata Ariff perlahan.
ii. “Biarlah kubawa diri yang terluka ini”, balas Wan Kamariah.
iii. “Cerita tu mungkin benar”, jelas Inspektor Zamri ringkas.
6. hybrid:
Hibrid bermaksud “penggabungan beberapa perkataan menjadi satu perkataan sahaja”.
Contoh:
i. Hatinya bisupilu mendengar penjelasan itu.
ii. Dia tidak akan ikut rentaktari pengikutnya yang marah itu.
iii. Begitulah adattari kehidupan sebagai seorang nelayan.
7. Anafora:
Anafora bermaksud “pengulangan perkataan pada awal baris atau ayat”.
Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati saat manisnya di kota Paris.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah lagi detik itu kau ingati.
iii. Belum tiba masanya dia bersuara. Belum tiba masanya dia mengakui hakikat itu.
8. Epifora:
Epifora bermaksud “pengulangan perkataan pada akhir baris atau ayat”.
Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Dila menangis. Atau Shafik juga akan menangis.
iii. Abang membesar dengan lampu minyak tanah. Aku Berjaya juga dengan lampu minyak tanah.
9. Diksi:
Diksi bermaksud “pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu cerita yang ditulis”.
i. Contoh: (Katakan cerita tentang perjuangan seorang tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan hendap di garisan hadapan platun itu.
ii. Contoh: (Katakan cerita tentang keagamaan)
Malam itu dia mendengar usrah daripada ustazah. Bibit-bibit nur menjelma di jiwanya.
iii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/ kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu sering kudambakan.
10. Asonansi:
Asonansi selalunya digunakan bagi mengulas sesuatu hasil puisi (sajak/ pantun/syair dan sebagainya). Asonansi bermaksud “pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat”.
Contoh:
i. Adakah ayah amat marah akan kakak lagi.
Pengulangan vokal ‘a” sebanyak 13 kali.
ii. Di sini kita masih tercari-cari erti harga diri sendiri.
Pengulangan vokal “i” sebanyak 12 kali.
iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal “u” sebanyak 6 kali.
11. Aliterasi:
Aliterasi bermaksud "pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat".
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7 kali.
ii. kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8 kali
12. Bombastik/ hiperbola:
Bombastik atau hiperbola ialah "perbandingan atau pemilihan kata yang berlebih-lebihan"
Contoh:
i. Suaranya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan atom yang beterbangan di udara.
13. Alusi:
Alusi bermaksud "penggunaan watak atau watak sejarah dalam puisi".
Contoh: (sajak)
Pemudaku hari ini
gigihlah berjuang demi tanah air
bawalah pesan Hang Tuah Melayu tak kan hilang di dunia
sambutlah hasrat sang Maharajalela
14. Rima akhir:
Rima akhir bermaksud “bunyi perkataan yang ditandakan dengan ‘huruf akhir’ pada sesuatu ayat”. Hanya digunakan untuk mengulas bahan puisi sahaja seperti sajak/ pantun/ syair dan sebagainya.
i. Contoh: (pantun)
Dua tiga kucing berlari. (ditandai dengan “a”)
Manakan sama si kucing belang.(ditandai dengan huruf “b”)
Dua tiga boleh kucari.(ditandai dengan “a” kerana huruf akhir sama dengan baris 1)
Manakan sama ibu seorang. (ditandai dengan “b” kerana huruf akhir sama dengan baris 2)
Oleh itu, rima akhir pantun di atas ialah “abab”.
ii. Contoh: (sajak)
Matanya pejam bisu (a)
hati membarah sudah (b)
tetkala pekat malam menjelma (c)
dia hanya mampu (a)
menggalas suka duka kehidupan (d)
ranjau tajam di rantauan (d)
Oleh itu, rima akhir sajak di atas ialah “abcadd”.
12. Perlambangan/ imejan:
Imejan bermaksud “penggunaan perkataan lain yang mempunyai maksud berlainan”.
Contoh:
i. Dia masih hijau ketika tanah airnya diserang penjajah. (muda)
ii. Dia tahu, dirinya sudah menghampiri senja. (tua)
iii. Adakah merpati akan menjenguk daerahku yang penuh kesengsaraan ini. (kedamaian/ kemerdekaan)
13. Watak dan perwatakan:
Watak ialah “pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi untuk menyampaikan idea penulis”.
i. Watak utama : watak penting yang menghidupkan sesuatu cerita. ( watak penting 1 sahaja)
ii. Watak sampingan : watak pembantu kepada watak utama. (banyak watak sampingan)
iii. Watak bulat/ bundar : Watak yang dinamis dan boleh berubah sifat/ sikapnya.
iv. Watak pipih : watak yang statik dan tidak berlaku perubahan. Contoh: Jika jahat terus jahat hingga akhir)
v. Watak antagonis : watak penyambut yang biasanya negatif. (Datin Salmah dalam Konserto Terakhir)
vi. Watak protagonis : watak pemula yang biasanya bersifat positif. (Hilmi dalam Konserto Terakhir)
vii. Watak kodi : watak nenek kebayan (Contoh: cerpen Peminangan Puteri Gunung Ledang)
14. Plot:
Plot ialah “jalinan peristiwa atau rentetan cerita yang berasaskan sebab dan akibat”.
Terbahagi dua:
i. Perkembangan plot (terbahagi 5)
Perkembangan cerita bermaksud “jalinan/ jalan cerita dari awal hingga akhir”.
a. Pengenalan
b. Perkembangan
c. Pertentangan / konflik
d. Puncak cerita / klimaks
e. Peleraian
ii. Teknik plot (terbahagi 6)
Teknik plot bermaksud “cara sesuatu cerita / teknik sesuatu cerita itu disampaikan”.
i. Pemerian/ penceritaan : biasanya pengarang bertindak sebagai pencerita.
Contoh:
Hilmi datang dari kampung di Kedah. Dia hanya lulus darjah empat sekolah. Dia ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan……..
ii. Dialog : Penceritaan melalui perbualan 2 orang watak atau lebih dengan secara jelas.
Contoh:
“Bila kau datang, Hilmi?” Datuk Johari bertanya. “Petang tadi. Ibu kirim salam”, balas Hilmi.
iii. Monolog : penceritaan melalui kaedah watak bercakap seorang diri.
Contoh:
“Oh, aku harap kau akan subur terus, cantik dan wangi!”, kata Hilmi pada bunga di hadapannya.
iv. Monolog dalaman : Watak berkata di dalam hati atau dalam fikirannya serta tidak terkeluar kata-kata.
Contoh:
“Cis, sial sungguh budak Hilmi ini!” getus hati Datin Salmah.
v. Imbas kembali/ flashback: Pengulangan semula cerita lama.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang mengingati kisah lama. (Saban hari menorah getah. Hasil getah dijualnya kepada Taukeh Lim. Duit itulah digunakan menyara ibunya yang sudah tua. Ibunya sakit tenat………)
vi. Imbas muka : Menceritakan peristiwa yang belum berlaku.
Contoh:
Hilmi tersandar di kerusi di rumah Datuk Johari. Fikirannya melayang memikirkan nasib dirinya. Alangkah baiknya jika dia juga anak orang kaya. (Setiap hari dia akan berkereta mewah. Memandu laju sambil di kelilingi gadis kota. Setiap malam dia akan mengunjungi nite club. Kalau tidak di Kuala Lumpur pasti dia akan ke …….)
15. latar:
Latar terbahagi kepada 3:
i. Latar tempat
Latar tempat bermaksud “tempat sesuatu cerita itu berlaku”. Contohnya, di Kuala Lumpur, di sekolah Henry Gurney, di rumah pak Mat, di kebun sayur Ah Ming dan sebagainya.
ii. Latar masa
Latar masa bermaksud “waktu atau masa sesuatu peristiwa itu berlaku”. Contohnya pada zaman dahulu, pada tahun 2003, pada minggu lepas, pada bulan Januari, pada waktu malam, pada siang hari, pada pukul 4.00 petang dan sebagainya.
iii. Latar budaya/ masyarakat
Latar budaya atau masyarakat bermaksud “keadaan masyarakat atau budaya di mana peristiwa itu berlaku”. Contohnya, masyarakat Malaysia, masyarakat moden, masyarakat petani, masyarakat seniman, masyarakat Cina, masyarakat yang suka membantu, masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan tahyul, masyarakat pelajar dan sebagainya.
PANDUAN PENULISAN KARANGAN
PANDUAN PENULISAN KARANGAN
1. APAKAH PERENGGAN ?Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.
PANDUAN MEMBUAT PERENGGAN :
Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan :
1. Tentukan ayat-ayatnya berkait.
2. Ada kesatuan dan pertautan isi.
3. Kesatuan hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
4. Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.
PERENGGAN DALAM KARANGAN RESPONS TERBUKA.
1. Perenggan pengenalan
2. Perenggan isi
3. Perenggan kesimpulan
PERENGGAN PENGENALAN :
Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
1. Ayat rangsangan.
2. Ayat arah.
AYAT RANGSANGAN :
Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
(AR1) : Dalam tempoh 10 tahun belakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini.
(AR2) : Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai idealogi yang bertentangan.
(AR3) : Peperangan juga berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil demi memenuhi kepentingan ekonomi mereka atau amaran kepada negara lain.
(AR4) : Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika Syarikat telah menyerang negara Afganistan dan Iraq, dan banyak lagi.
AYAT ARAH :
Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
Ayat arah :
Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif, baik kepada negara mahupun kepada masyarakat dunia yang lain.
PERENGGAN ISI :
1. APAKAH AYAT TOPIK ?
Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.
2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.
3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :
1. Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
2. Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
3. Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.
4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
Soalan contoh :
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku ?
Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:
1. Kalah jadi abu, menang jadi arang.
2. Jong pecah yu kenyang.
3. Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
4. Air mata jatuh ke perut.
PERENGGAN PENUTUP :
Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.
PENANDA WACANA DALAM KARANGAN
PENANDA WACANA DALAM KARANGAN
PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.
PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN
· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas
PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN
· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah
PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK
· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………
PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH
· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah
PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN
· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama
MUTIARA KATA
MUTIARA KATA
Berbuat baiklah kepada orang yang kita temui sepanjang pendakian ke puncak kerana kita memerlukan mereka ketika menuruni puncak menuju ke lembah......... maksud pepatah Cina
Kalau kalian mahu melompat, pastikan dapat memaut kepak helang yang sedang terbang di angkasa. Kalau kalian ingin berlari, pastikan kalian dapat mengejar puyuh yang sedang berlari.
....... pujangga Melayu
Ada kalanya ketika mempertahankan hak, kita perlu berlaku kejam kepada orang lain agar hak kita terpelihara.
....... Azizi Hj Abdullah [ Senja Belum Berakhir ]
Mendidik anak ketika kecil umpama mengukir atas batu, sebaliknya mendidik anak-anak setelah dewasa umpama mengukir atas air
...... maksud peribahasa Arab
Jika kita menghulurkan kacang..kita hanya akan didatangi sekawan monyet.
...... peribahasa Inggeris
Hidup tanpa cinta umpama tinggal dalam taman tak berbunga.
.... pujangga Hindi
Tali yang diikat terlalu tegang akan putus. Tali yang diikat terlalu longgar akan melurut. Ikatlah tali sebaiknya supaya tali itu dapat difungsikan.
.... Mahatma Ghandi.
Jangan bertanyakan sumbangan negara kepada kamu. Sebaliknya tanyakan apakah sumbangan kamu kepada negara.
..... Mendiang Joh F Kenedy
Kamu tidak mampu untuk menebus satu inci masa dengan satu inci emas.
..... maksud pepatah Cina
Lalai sesaat ada kalanya mencurahkan air mata setahun
..... Hj Roduwan
Berbuahlah pisang tiga kali, orang Melayu masih bermimpi
...SN Datuk Dr Usman Awang
Seorang juara akan melihat jalan penyelesaian kepada satu masalah, sebaliknya seorang pesimis akan melihat masalah kepada jalan penyelsaian.
......... pakar motivasi Inggeris
Jadikan dirimu seteguh karang yang mampu bertahan di tengah samudera yang mengganas.
......... Norliya Zain...
Seorang itu dinamai nakhoda jika berjaya mengemudi bahtera di laut yang cukup bergelora.
.......... ajak8407
Dunia ini sebenarnya tiga hari sahaja. Semalam yang berlalu dimana engkau tidak boleh membuat apa-apa perubahan, esok yang bakal mendatang dimana engkau sendiri belum tentu akan dapat hidup dan hari ini dimana engkau berada sekarang. Maka carilah yang sebaiknya untuk bekal hari mendatang.
.......... sabda Nabi Isa a.s
Orang yang banyak bercakap kurang membuat kerja, sebalinya orang yang kurang bercakap banyak membuat kerja.
........ maksud pepatah Cina
Beri satu pasukan sebuah bukit untuk didaki.
........ pakar motivasi Inggeris
Orang tidak berminat dengan apa yang kita cakapkan tetapi melihat apa yang kita buat.
........ pakar motivasi Inggeris
Lalai sesaat ada kalanya mencurahkan air mata setahun.
............ Hj Roduwan, pakar motivasi
Akar pendidikan adalah pahit tetapi buahnya sangat manis.
.......... Hj Roduwan, pakar motivasi
Kurang semangat membawa lebih banyak kegagalan berbanding kurang kemahiran.
............ Hj Roduwan, pakar motivasi
Satu kesilapan yang kecil sebenarnya satu penambahbaikan yang besar.
....... maksud peribahasa Inggeris
Jika anda ingin bunga ros esok, mulalah menanamnya hari ini.
....... maksud pepatah cina
karangan
FAKTOR-FAKTOR KEMALANGAN JALAN RAYA - BAHAGIAN A
PENDAHULUAN – 5 Ayat
[AR] Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan jalan raya saban tahun semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari sama ada di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja dipaparkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia. [AR-A.Tanya] Murah sangatkah nyawa manusia sehingga banyak jiwa yang terkorban di jalan raya? Jika hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu merugikan sesebuah negara. [AA] Oleh itu,punca-punca kemalangan jalan raya perlu dikenal pasti segera sebelum isu ini menjadi lebih parah lagi. [80 pp]
Perenggan Isi 1 : Sikap Pemandu Itu Sendiri – 5 Ayat
[AP] Punca yang paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. [AH-Mengapa?] Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. [AC] Sebagai contoh, pemandu kenderaan memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. [AH-Kesan?] Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. [AP] Oleh itu, sikap berhati-hati di jalan raya dan Biar Lambat Asal Selamat akan dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku. [78 pp]
Perenggan Isi 2 : Keadaan Struktur Jalan Raya – 5 Ayat
[AP] Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah Keadaan struktur jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. [AC] Sebagai contoh, jalan raya yang bengkang-bengkok, selekoh tajam akan memudahkan pemandu yang tidak biasa jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. [AH-Bagaimana?] Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif segera memperbaiki struktur jalan raya yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.. [AP] Tegasnya sebelum Nasi Menjadi Bubur, struktur jalan raya perlu diberi keutamaan terlebih dahulu agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya terjamin. [86 pp]
Perenggan Isi 3 : Keadaan Kenderaan – 5 Ayat
[AP] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan boleh mengundang malapetaka kepada pemandunya. [AC] Sebagai contoh, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan berlakunya kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara kecemasan. [AP] Jelaslah, kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh kerana Malang Tidak Berbau. [76 pp]
Perenggan Isi 4 : Undang-undang – 5 Ayat
[AP] Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan salah satu punca berlaku kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu bayar. [AC] Selain itu, Ops Sikap dan sekatan jalan raya hanya giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu tidak gentar melakukan kesalahan di jalan raya kerana mereka mampu membayar denda yang dikenakan dan beranggapan operasi hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. [AP] Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan pemantauan di kawasan berbahaya hendaklah diambil untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan maut. [93 pp]
Kesimpulan.
[Rumusan] Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani isu kemalangan jalan raya ini. [Cadangan] Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah berterusan dan istiqomah bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. [Pendapat] Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah, barulah inisiatif dirangka untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Isu kemalangan ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana impaknya sangat besar kepada negara terutamanya kerugian sumber tenaga yang produktif. [Harapan] Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman bagi semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah yang perlu dihargai. [80 pp]
Karangan Rangsangan - Permainan Tradisional
KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL
Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional yang terdapat di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan permainan tradisional di Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
PERENGGAN PENDAHULUAN (5 Ayat)
[Ayat Rangsangan(AR) – Definisi Umum] Permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh generasi pada zaman nenek moyang kita sejak dahulu lagi. [Ayat Contoh (AC)] Antara contoh permainan tradisional yang masih dimainkan kini ialah permainan gasing, wau dan congkak. [AR-Isu] Namun, peredaran zaman yang kian berubah telah menyaksikan bahawa permainan tradisional ini makin dipinggirkan oleh generasi muda kini. [AR – Persoalan] Mengapakah hal sedemikian berlaku? Siapakah yang perlu melestarikan permainan tradisional ini agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas? [Ayat Arahan(AA)] Oleh itu, kepentingan permainan tradisional ini perlu diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia agar permainan ini tetap terlestari sampai bila-bila.
PERENGGAN ISI 1 – Warisan Budaya Malaysia (5 Ayat)
[Ayat Topik (AT)] Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan tradisional merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai harganya. [Ayat Huraian (AH)- Mengapa?] Hal ini adalah kerana permainan tradisional merupakan warisan nenek moyang kita yang melambangkan adat, budaya dan identiti sesuatu bangsa. [AH-Jika] Sekiranya permainan tradisional ini tidak dipertahankan sudah tentu generasi muda tidak mengenali budaya warisan mereka. [AH-Kesan] Impaknya, generasi muda sudah tentu tidak akan mengenali permainan congkak, sepak raga, wau malah mereka begitu berbangga dengan permainan moden yang begitu pesat membanjiri pasaran kini. [Ayat Penyimpul (AP)] Jelaslah, permainan tradisional ini sangat penting kerana permainan ini merupakan warisan turun-temurun yang perlu dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang.
PERENGGAN ISI 2 – Sebagai hiburan (5 Ayat)
[AT] Sudah Terang Lagi Bersuluh, permainan tradisional dapat dijadikan sebagai alat hiburan untuk mengisi masa lapang. [AH-Mengapa] Permainan tradisional dapat menghiburkan seseorang kerana permainan ini menyeronokkan dan dimainkan secara berkumpulan. [AC] Sebagai contoh, permainan congkak yang memerlukan dua orang untuk memainkannya dan begitu juga permainan sepak raga yang perlu dimainkan secara berkumpulan. [AH-Kesan] Secara tidak langsung, permainan tradisional ini dapat mengurangkan stress seseorang malahan dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. [AP] Tegasnya, permainan tradisional bukan sahaja dapat menghiburkan seseorang malah mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan.
PERENGGAN ISI 3 – Sebagai Produk Pelancongan (5 Ayat)
[AT] Kepentingan seterusnya ialah permainan tradisional dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menguntungkan negara. [AH-Mengapa] Pada kebiasaannya, pelancong luar yang datang ke negara kita ingin melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia. [AC] Sebagai contoh, permainan wau ataupun layang-layang yang kini telah mendapat tempat di persada antarabangsa. [AH-Kesan] Secara eksplisitnya, permainan tradisional ini dapat menarik pelancong asing dan berlakunya aliran masuk mata wang asing ke dalam negara. [AP] Izharlah bahawa permainan tradisional membawa signifikan yang ketara dalam sektor pelancongan di Malaysia.
PERENGGAN PENUTUP – Sebagai hiburan
[Rumusan] Sebagai intiha, permainan tradisional banyak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negara. [Pendapat] Sesungguhnya, permainan ini perlulah dilestarikan untuk dijadikan alat penghubung silaturahim antara generasi dulu dan kini. [Cadangan] Sebagai rakyat Malaysia yang menghargai warisan tradisi seharusnya berganding bahu bagai Aur Dengan Tebing dalam mengekalkan permainan tradisional ini. [Harapan] Walaupun kini permainan moden bagai Cendawan Tumbuh Selepas Hujan telah menguasai jiwa golongan muda namun, permainan tradisional tetap di hati kerana Tak Kenal Maka Tak Cinta.
Subscribe to:
Posts (Atom)