Karangan Ceramah : “Kepentingan Amalan Nilai-nilai Murni”.
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Zaitun binti Ibrahim, Pengetua SMK Jalan Reko, guru-guru dan hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “Kepentingan Amalan Nilai-nilai Murni”. Sebagai permulaan bicara, ingin saya jelaskan definisi perihal “kepentingan”. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, kepentingan bermaksud, suatu perkara yang penting demi kebaikan. “nilai” bermaksud sifat ketinggian. Manakala “murni” bermaksud tidak mengandungi unsur-unsur asing yang mencemarkan. Frasa “Amalan” pula membawa maksud, suatu yang dilakukan sebagai kebiasaan. Pendek kata, “Kepentingan Amalan Nilai-nilai Murni” ialah suatu kebiasaan yang dilakukan tidak mempunyai unsur-unsur asing yang mencemarkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kepentingan amalan nilai-nilai murni boleh menjadikan kita sebagai insan yang dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai-nilai murni yang diamalkan mewujudkan suasana baik. Sebagai contohnya, nilai bantu membantu sesama insan yang memerlukan. Secara tidak langsung, kita akan dihormati dan disegani dengan perlakuan yang baik. Bak kata peribahasa, buat baik dibalas baik.
Selain itu, kita akan disayangi dalam keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai anak, kita mestilah ringan tulang untuk membantu ibu dan bapa dalam urusan seharian. Contohnya, pada waktu cuti hujung minggu. Kita boleh membantu ibu di dapur dan membantu ayah membasuh kenderaan. Dengan cara ini, kita akan disayangi dan dihargai dalam keluarga.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bukan itu sahaja, kita juga akan senang untuk mendapat ramai kawan. Hal ini dikatakan demikian kerana perlakuan kita disenangi oleh semua orang yang berada di sekeliling kita. Sebagai contoh, kita sering bertukar-tukar pendapat dan melakukan belajar secara berkumpulan. Keadaan ini akan menjadikan kita mudah untuk didekati sekali gus dihargai oleh rakan-rakan.
Sebagai penggulung bicara di atas, nilai-nilai murni sememangnya elok untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, marilah kita menyeru semua insan dari segenap pelosok negara untuk mengamalkan nilai-nilai murni lantas nama negara akan terus disanjung sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni.