WAHAI PELAJAR YANG DIKASIHI
BACALAH KARANGAN CONTOH INI DAN CETAK SERTA SIMPAN DALAM FAIL BAHASA
Karangan Rencana: Langkah-Langkah Meningkatkan Mutu
Sukan Negara
Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk
³Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara´.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC)
serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-
olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira
prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian
atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah
menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-
atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran ³jaguh kampung?´
Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan
mutu sukan negara, agar kita dapat ³duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi´ dengan negara-negara
lain dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk
yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di
Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara ³sebulat suara´ ini, sering menjadikan persatuan
berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka.
Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah
³dianak tirikan´ oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami
perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan
jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh
individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan
seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan
serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, ³hanya jauhari yang
mengenal manikam´.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam
usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat
antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang
cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti
penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan
sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan
sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah
menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan
para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan
menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita
terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992,
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang
mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya
³gandingan emas´, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam
Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala
kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan
iltizam semua pihak, pastinya ³sinar di hujung terowong´ dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali
martabat sukan negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara
lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta
menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak
mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah
kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang
berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk
persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian
ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas
senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam
pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh
dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ³seperti melepaskan batuk di tangga´. Sebaliknya ia
menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak
berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia
sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia
kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah
mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan
negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam
pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia.
Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia
beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah
³pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan´, terserah kepada kita untuk merealisasikan
impian 26 juta rakyat Malaysia. ³Majulah sukan untuk negara!´