Monday, September 19, 2011

PERANAN KELUARGA II

Soalan 10 : Setiap ahli keluarga memainkan perananan masing-masing untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab untuk membahagiakan keluarga. Bincangkan peranan anak untuk membahagiakan institusi kekeluargaan.


Setelah mendepani gelombang globalisasi yang penuh dengan ranjua dan onak duri, hubungan institusi kekeluargaan semakin renggang. Hal ini turut mencetuskan pelbagai sindram sosial yang bagai duri dalam daging masyarakat kita, terutamanya penganiayaan kanak-kanak, lari dari rumah, mat rempit, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa sering diberikan amanah yang berat untuk memperkukuh ikatan institusi kekeluargaan. Bagiamanapun, bertepuk sebelah tidak akan berbunyi. Anak yang masih kecil juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan keluarga. Hal ini seiring dengan kata-kata mutiara, “Orang yang paling tidak bahagia ialah mereka yang paling takut pada perubahan.” Lantaran itu, anak yang kecil juga perlu dicelikkan peranan mereka dengan mengubah sikap mereka untuk menjayakan program keluargaku, syurgaku.


Salah satu peranan yang prioriti anak untuk menjamin kebahagiaan keluarga adalah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana tingkah laku anak yang sopan dapat melegakan ibu bapa yang menghadapi pelbagai persaingan dalam kerjaya mereka. Hal ini selaras dengan peribahasa, “ yang merah itu saga, yang kurik itu kundi, yang baik itu bahasa, yang indah itu budi.” Sehubungan dengan itu, setiap anak perlu sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan berhemah tinggi untuk melayani ibu bapa mereka. Kita tidak patut bertengkar dengan adik-beradik sehingga merisaukan orang tua kita. Sebagai jantung hati ibu bapa, anak hendaklah bersalam kepada orang tua dan mesti meminta kebenaran daripada mereka sebelum membuat sesuatu keputusan. Kata-kata hikmat harus sentiasa tertanam dalam bibir anak, seperti “ terima kasih”, “maafkan saya”, “bolehkah saya”, “tolong” dan lain-lain lagi. Segala penat lelah ibu bapa akan reda ketika menghadapi anak mereka yang berperangai murni . Tegasnya, tingkah laku anak yang berjati diri dan berbudi bahasa dapat meningkatkan keharmonian dalam rumah.


Selain itu, anak perlu mendukung tanggungjawab untuk meringankan beban ibu bapa dengan melakukan kerja rumah tangga. Pada alaf baru yang sentiasa berkompetitif, kebanyakan ibu telah bekerja di luar di samping memainkan peranan sebagai suri rumah tangga. Senario ini menyebabkan mereka sentiasa menghadapi lambakan kerja yang tidak pernah habis. Sebagai anak yang bertimbang rasa, kita juga patut melakukan kerja-kerja rumah tangga untuk meringankan beban ibu yang disayangi. Sebagai contoh, kita boleh menyapu rantai, mencuci baju dan kasut sekolah , mengelap tingkap, mencuci kereta malah memasak. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing harus diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Bagaimanapun, kebanyakan remaja sekarang meremehkan kerja rumah tangga malah keadaan bilik mereka berselerakan. Ibu bapa yang penat dan sibuk dengan kerja rumah tangga pasti tidak mungkin dapat menaruh kasih sayang kepada anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan kata lain, anak yang sanggaup melakukan kerja-kerka rumah tangga dapat meningkatkan kualiti kesejahteraan keluarga.


Seterusnya, anak yang bertanggungjawab hendaklah berdisiplin dan menjauhi kegiatan yang negatif. Sejak kebelakangan ini, ibu bapa sentiasa gelisah dan risau akan anak mereka yang terlibat dalam pelbagai kemelut sosial, tamsilnya gengsterime, vandalisme, melepak, mat rempit, merokok bahkan menagih dadah. Silaturahim ibu bapa dengan anak semakin tegang dan tidak mesra lagi ketika ibu bapa asyik menegur perbuatan anak mereka yang tidak sihat. Sebelum senario ini terjadi, anak yang terdidik perlu ada kesedaran diri dan membuat pertimbangan yang sewajarnya. Golongan remaja dan belia harus memiliki keimanan sebagai pedoman bagai jauhari yang mengenal manikam. Ajakan syaitan dan bisikan iblis harus dijauhi dengan mendalamkan ajaran agama. Ketika menghadapi sesuatu dilema, anak perlu meminta nasihat daripada ibu bapa atau adik-beradik mereka. Seandainya anak dapat mengamalkan prinsip yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, mereka pasti dapat melepaskan diri daripada kepompong sindrom sosial. Perselisihan dalam keluarga pasti dapat diminimumkan. Natijahnya, anak yang berdisiplin dapat memastikan keamanan keluarga mereka.


Di samping itu, salah satu peranan anak adalah menghargai jasa ibu bapa mereka. Nilai kesyukuran perlu ada pada setiap insan. Kata orang yang bijak pandai, “orang yang bersyukur ialah manusia yang bahagia kerana dapat menikmati segala kurniaan-Nya.” Rentetan daripada itu, setiap anak perlu menghargai segala nikmat yang diperoleh. Mereka perlu mengenang jasa ibu bapa seperti peribahasa, “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Untuk berterima kasih kepada ibu bapa yang mengasuh, membimbing dan mendidik kita, sebagai anak, kita harus taat dan hormat kepada mereka. Ketika hari jadi ibu bapa, anak boleh membuat kad hari jadi kepada mereka. Anak boleh membeli hadiah kepada ibu bapa dengan wang saku. Kad yang berharga satu dua ringgit itu membawa makna yang tidak ternilai kepada penerima kerana anak itu sedar akan kesusahan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Ketika Hari Bapa atau Hari Ibu, adik-beradik boleh menyediakan hidangan yang disukai oleh ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Natijahnya, anak perlu menghargai jasa ibu bapa mereka dan berusaha membahagiakan mereka.


Sementelahan, anak berkewajipan untuk belajar dangan bersungguh-sungguh. Anak yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan dapat mengharumkan nama keluarga. Ibu bapa akan berasa bahagia dan berpuas hati ketika anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa senario ini merupakan impian setiap ibu bapa. Mereka bekerja keras untuk menyekolahkan anak mereka supaya anak mereka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Sebagai pelajar, anak perlu memikul tanggungjawab tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh, ibarat genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. Kepandaian atau kecerdikan setiap orang adalah berbeza tetapi usaha tangga kejayaan. Jika setiap anak dapat menelaah pelajaran dengan tekun dan teliti, pelajaran mereka pasti dapat menuju ke arah kegemilangan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala usaha yang pahit dapat melahirkan buah yang manis. Kecemerlangan anak dalam pelajaran turut membantu mereka memperoleh biasiswa sehingga meringankan beban ibu bapa untuk menanggung kos pendidikan anak. Dengan kata lain, anak perlu belajar dengan tekun untuk mengharumkan nama keluarga.


Secara tuntasnya, anak memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan keluarga mereka. Anak yang bersopan, bertanggungjawab, berdisiplin, rajin dan menghargai jasa ibu bpa dapat mencambahkan keluarga yang sakinat. Walau bagaimanapun, setiap anggota keluarga perlu bermuafakat seperti peribasasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang utuh dan sejahtera. Atas persefahaman dan kerjasama setiap anggota keluarga, progaram “Keluargaku, syurgaku” dan “Semakin Hari Semakin Sayang” baru dapat direalisasikan.


Karangan peranan ibu bapa 4

Soalan 7: Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangkan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya, menjadi penagih dadah, pencuri, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini.

Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa “bagai aur dengan tebing” hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.


Soalan 8 :Peranan keluarga dalam memupuk semangat perpaduan.

Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air.

Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh .

Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di
Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum .

Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air".

Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa
Malaysia kepada anak-anak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri .

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian .

Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .

No comments:

Post a Comment