Friday, October 10, 2014

KARANGAN VANDALISME

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME
Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)
Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)
Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’.(78 patah perkataan)

Wednesday, October 8, 2014

PENJAGAAN KESIHATAN


CARA MENJAGA KESIHATAN

                Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai.Sudah semestinya setiap individu menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing.Namun begitu,pelbagai penyakit kini semakin berleluasa malah ada yang menyebabkan kematian.Keadaan ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sebaliknya perlulah dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang efektif.

          Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.Pemakanan yang seimbang mestilah berpandukan kepada piramid makanan.Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang berperanan membekalkan pelbagai jenis mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita.Di samping itu,kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
           Selain itu,kita mestilah mengamalkan amalan bersukan dan bersenam.Seseorang individu mestilah menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu dan 20 minit bagi setiap sesi.Hal ini demikian kerana bersenam akan dapat menyihatkan tubuh badan di samping meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

              Tambahan pula,kita mestilah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.Hal ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang penyakit.Pemeriksaan kesihatan mestilah kerap dilakukan supaya dapat memulakan rawatan dari peringkat awal sekiranya didapati menghidap sebarang penyakit.

              Di samping itu,setiap individu mestilah mendapatkan tidur dan rehat yang cukup.Dalam kesibukan menjalani aktiviti harian,keperluan tubuh badan tidak wajar diabaikan.Tubuh badan kita memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus berfungsi dengan baik.Tanpa rehat yang secukupnya,tubuh badan akan menjadi letih dan lesu sekaligus menyebabkan semua aktiviti tergendala.Oleh itu,rehat dan tidur yang cukup amat diperlukan.

                      Akhir sekali,kita mestilah menjaga kesihatan dengan baik sejak peringkat awal lagi.Sesungguhnya,kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai.Oleh itu, kita bertanggungjawab memelihara kebaikan yang telah dikurniakan kepada kita.Jangan nanti terhantuk baru terngadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.