contoh karangan
Kepentingan Aktiviti Kokurikulum
Setiap sekolah diwajibkan menjalankan aktiviti kokurikulum. Aktiviti ini dijalankan pada sebelah petang atau pun pada sebelah pagi bagi pelajar sesi petang. Para pelajar wajib menyertai tiga aktiviti yang dijalankan, iaitu kelab dan persatuan, unit beruniform dan aktiviti permainan. Kini kegiatan kokurikulum dilihat sama penting dengan bidang akedemik.
Melalui aktiviti ini, tubuh badan akan menjadi sihat dan minda pun cerdas. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kita melakukan sesuatu aktiviti, otot-otot akan bergerak dengan aktif, seterusnya badan kita akan berpeluh. Apabila kita sihat, mudahlah kita untuk mengikuti pelajaran dan yang pasti kita dapat hadir ke sekolah. Jika tubuh badan kita tidak sihat, kita akan menjadi cepat keletihan, badan lesu dan tidak bermaya dan minat untuk belajar pun luntur.
Selain itu, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Sekiranya pelajar tidak menyertai aktiviti kokurikulum, masa yang terluang pasti akan digunakan untuk menonton televisyen, merokok dan berpeleseran di pusat beli-belah. Jelaslah bahawa, aktiviti kokurikulum ini dapat mengelakkan megeka daripada terjerumus ke dalam kancah masalah sosial, seperti jenayah, merempit, meragut, menagih dadah, mengedar dadah dan banyak lagi.
Apabila menyertai aktiviti kokurikulum, secara tidak langsung para pelajar juga boleh menambah kenalan. Hal ini dikatakan demikian kerana penyertaan dalam persatuan mahupun aktiviti sukan adalah tidak mengira dari kelas mana, ataupun apakah bangsa dan warna kulit seseorang pelajar itu? Jadi, apabila ramai kenalan para pelajar tidak akan berasa bosan dan dapat berbincang tentang pelajaran dengan rakan –rakan. Apabila para pelajar di sesebuah sekolah kenal-mengenali maka wujudlah perpaduan dan persefahaman antara mereka sekaligus dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Aktiviti kokurukulum juga diisi dengan aktiviti yang berbentuk pertandingan, sama ada pertandingan di peringkat sekolah, zon, daerah, peringkat negeri, malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui pertandingan dalam aktiviti kokurikulum tersebut seorang pelajar boleh mencipta kejayaan dan mengharumkan nama sekolah sekiranya dia atau pasukannya memenangi kejohanan yang disertai. Jika pada peringkat sekolah, para pelajar ini sudah berjaya mengharumkan nama sekolah, apabila dewasa kelak, tidak mustahil para pelajar ini juga boleh mengharumkan nama Negara.
Intihanya, jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum memberi manfaat yang banyak kepada kita. Oleh itu, para pelajar, mesti memanfaatkan masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Apalah gunanya menjadi pelajar pintar yang mendapat gred A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan, tetapi tubuh badannya tidak bermaya, lebih buruk lagi jika dia hidup dalam kesepian kerana tidak mempunyai kawan.