Monday, September 1, 2014

INTENSIF BAHASA

Intensif Tatabahasa 

1.
I
II
III
IV
“Masukkan sedikit cili sos ke dalam masakan itu,” kata ibu kepada kakak. 
“Masukkan sedikit sos cili ke dalam masakan itu,” kata ibu kepada kakak.
Azura membeli sehelai telekung mini yang bersulamkan benang emas di pasar malam.
Azura membeli sehelai mini telekung yang bersulamkan benang emas di pasar malam.


A.      I dan II                        B          I dan IV
C       II dan III                      D         II dan IV

{Hukum D-M yang betul ialah sos cili kerana yang diterang ialah sosdan yang menerang ialah cili. (Sos tiram, sos tomato)}
{Hukum D-M yang betul ialah telekung mini kerana yang diterangialah telekung dan yang menerang ialah mini.
(telekung biru, telekung baharu)}
Jawapan :  C

2.

I
II
III
IV
Mak Cik Liza menghidangkan tetamunya sepinggan kuih seri muka. 
Mak Cik Liza menghidangi tetamunya sepinggan kuih seri muka. 
Encik Azli menghadiahkan cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.     
Encik Azli menghadiahi cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.   


A       I dan II                        B          I dan III
C       II dan III                      D         III dan IV

{Imbuhan apitan “meng ... i” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada (siapa) manusia sahaja}
{Imbuhan apitan “meng ... kan” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada (apa) benda atau binatang}
Jawapan :  C

3.


I
II
III
IV
Mereka masih membincangkan masalah keruntuhan moral para remaja.
Pekebun kecil masih membincangkan harga kelapa sawit yang tidak menentu.
Mereka masih membincangkan tentang masalah keruntuhan moral para remaja.
Pekebun kecil masih membincangkan tentang harga kelapa sawit yang tidak menentu.


A       I dan II                          B           I dan III
C        II dan III                       D         III dan IV
{Gugurkan perkataan tentang sebab imbuhan apitan “meN ... kan” sudah membawa maksud tentang}
{kata kerja transitif tidak boleh disisipkan sebarang kata sendi} men-…-kan {tidak perlu tentang}
Jawapan :  A
 ber {ada tentang/kata sendi}/ber-...-kan {tak perlu kata sendi}



4.


I
II
III
IV
Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan merbahaya itu.
Kejayaan gemilang dalam PMR yang diperolehi Syakirah kerana usaha gigihnya.
Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan berbahaya itu.
Kejayaan gemilang dalam PMR yang diperoleh Syakirah kerana usaha gigihnya.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Tidak ada imbuhan awalan ‘mer-‘ dalam tatabahasa Melayu, bukanmerbahaya tetapi berbahaya}
{Apitan ‘diper ... i’ – hanya kepada empat perkataan; diperisteri,dipersuamidiperkawani dan diperingati}
{Awalan ‘diper-’ – ialah awalan yang membentuk kata kerja ayat pasif, selain empat perkataan di atas}
Jawapan :  D

5.



I
II
III
IV

Adik terlalu sayangkan kucing siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.   
Adik terlalu sayang akan kucing siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.  
Emak marahkan adik kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh cikgunya.    
Emak marah akan adik kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh cikgunya.    



A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan IV                                 D         III dan IV


{Kata yang ada unsur emosi/perasaan tidak boleh disisipkan imbuhan akhiran “-kan”, sepatutnya akan}
Jawapan :  C

6


I
II
III
IV
Sesetengah murid tidak tahu membahagi-bahagikan masa dengan baik. 
Setengah murid tidak tahu membahagi-bahagikan masa dengan baik. 
Afizah menunggu kawannya di Stesen Bas Tapah selama dua setengah jam.   
Afizah menunggu kawannya di Stesen Bas Tapah selama dua jam setengah.   


A         I dan II                                   B          I dan IV
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Setengah membawa maksud satu perduasesetengah pula membawa maksud sebahagian daripada}
{Dua setengah jam merujuk kepada bilangan jamdua jam setengahmerujuk kepada waktu, 2 jam 30 minit}
Jawapan :  B

7.



I
II
III
IV

Lain-lain perkara turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan PIBG kali ini.       
Perkara-perkara lain turut dibincangkan dalam mesyuarat bulanan PIBG kali ini. 
Lain-lain hal yang menyentuh agama, ras, dan budaya tidak perlu diperdebatkan.    
Hal-hal lain yang menyentuh agama, ras, dan budaya tidak perlu diperdebatkan.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         II dan IV


{Lain-lain membawa maksud banyak yang lainperkara-perkara pula membawa maksud banyak perkara}
{Lain-lain membawa maksud banyak yang lainhal-hal pula membawa maksud banyak hal}


8.


I

II

III
IV
Satu rampasan terbesar mercun telah dilakukan oleh pasukan kastam Kelantan pagi tadi.  
Satu rampasan mercun terbesar telah dilakukan oleh pasukan kastam Kelantan pagi tadi.  
Merujuk perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran. 
Merujuk kepada perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran.    


A         I dan II                                 B          I dan III
C        II dan III                                 D         II dan IV

{Mercun terbesar merujuk kepada mercun yang besarrampasan terbesar merujuk kepada banyak rampasan}
{Perkataan ‘merujuk’ dalam ayat membawa maksud kepada secara tersirattidak perlu merujuk kepada}

9.


I
II
III
IV
Encik Ali menunggu anaknya di stesen bas sejak pukul 10.00 pagi.
Encik Ali menunggu anaknya di stesen bas sejak dari pukul 10.00 pagi.
“Semenjak dari hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.
“Semenjak hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.


A         I dan II                                   B          I dan IV
C         II dan IV                                 D         III dan IV

{Gugurkan perkataan ‘dari’ kerana kedua-duanya ‘sejak’ dan ‘dari’ adalah kata sendi yang sama maksud}
{Gugurkan perkataan ‘dari’ kerana perkataan ‘semenjak’ dan ‘dari’ adalah kata sendi yang sama maksud}

10

I

II
III
IV
Para pekerja sedang memperlebarkan jalan utama dari Tapah menuju ke Tanjung Malim.
Datin Maria bercadang memperluaskan perniagaannya ke Sabah dan Sarawak.
Datin Maria bercadang memperluas perniagaannya ke Sabah dan Sarawak.
Para pekerja sedang memperlebar jalan utama dari Tapah menuju ke Tanjung Malim.


A         I dan II                                   B          I dan III
C         II dan III                                 D         III dan IV

{Apitan “memper ... kan” menerima kata nama dan kata kerja, awalan “memper-“ menerima kata adjektif}

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada  para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.
            
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita.  Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah  akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.
            
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.
            
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi.  Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.

Tuesday, July 22, 2014

LATIHAN TATABAHASA TINGKATAN 4


Latihan: Hasilkan perenggan pengenalan berdasarkan soalan rumusan yang diberi
Soalan 1
Baca Petikan di bawah ini, kemudian buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar danimplikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.
Jawapan:

Soalan 2
Baca petikan di bawah ini, rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
Jawapan:

Soalan 3
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang masalah-masalah sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Jawapan:


(Tukarkan supaya menjadi 3 ayat majmuk)
Kerajaan telah memberi amaran tegas. Amaran itu diberi kepada pemilik kenderaan persendirian. Mereka dikehendaki memasang tali pinggang keselamatan ketiga. Ramai pemilik kenderaan masih engkar. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas. Kerajaan menguatkuasakan undang-undang. Pesalah akan ditangkap. Mereka akan didenda RM300. Pemilik kenderaan tersebut akan disaman. Penumpang ketiga itu akan disaman juga. Saman ini dapat dijadikan pengajaran.

Latihan
Pisahkan setiap ayat di bawah menjadi dua ayat tunggal.

1.              Pembinaan lebuh raya memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan masa.
2.               Golongan remaja mahupun golongan tua hendaklah berusaha sedaya upaya untuk memajukan lagi negara ini.
3.             Barangan buatan Malaysia bukan sahaja bermutu, malah dapat bersaing dengan barang luar negara.
4.              Peperangan menyebabkan kehidupan huru-hara dan banyak harta benda akan musnah.
5.              Membaca buku dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan memudahkan seseorang menyelesaikan masalah.
6.               Pendatang asing di negara ini banyak memberikan kebaikan dan keburukan.

(b) Pisahkan petikan di bawah ini menjadi enam ayat tunggal dengan mengekalkan susunan dan maksud asalnya. 

Institusi pengajian tinggi tidak harus menggalakkan penubuhan persatuan mahasiswa yang berasaskan kenegerian. Pergerakan begini walaupun merapatkan hubungan ahli sesama anak negeri yang sama tetapi kewujudannya juga akan membina jarak hubungan dengan pelajar dari negeri lain. 


(c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan.

(i) Rancangan Malaysia Ke Sepuluh memberikan tekanan terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan di bandar dan di luar bandar.

(ii) Wang petaruhan dalam sesuatu pembidaan hendaklah disediakan dalam bentuk deraf bank atas nama pihak yang mengeluarkan tender tersebut.


(iii) Pihak sekolah mengada pemantauan yang berterusan di kawasan-kawasan yang beresiko tinggi berlakunya kejadian ragut.


(d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.

(i) Peneroka dalam sesuatu bidang ilmu mesti mempunyai ketelitian untuk mengelakkan kesimpulan yang rapuh dan tidak berpijak di atas fakta yang kukuh sehingga menghasilkan kajian yang salah.

(ii) Saban hari berita tentang peperangan memenuhi dada akhbar dan kaca televisyen malah lagi perkhabaran itu berlaku di negara yang tiada daya untuk menentang kuasa penceroboh.

(iii) Lambakan industri produk kecil dan sederhana bukan sahaja memenuhi pasar raya di dalam negara tetapi juga dapat menguasai ruang niaga di gedung terkemuka luar negara.

(e) Baca maksud peribahasa di bawah ini dengan teliti dan kemudian tulis peribahasa yang sesuai dengan setiap maksud peribahasa tersebut.

(i) Orang yang cepat marah walaupun atas sebab yang kecil.

(ii) Orang yang kerap berpindah tidak dapat mengumpul kekayaan.

(iii) Membuat kebaikan itu biarlah berpatutan dan kejahatan itu janganlah dilakukan walaupun sekali.


KARANGAN RANGSANGAN

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENCEMARAN

Contoh Jawapan


Pencemaran alam sekitar sudah menjadi lumrah di negara-negara maju. Pencemaran seolah-olah tidak dapat dielakkan jika terdapat sebarang aktiviti pembangunan di sesuatu tempat. Pencemaran boleh diklasifikasikan kepada beberapa beberapa keadaan seperti pencemaran udara, iklim, tanah dan air. 

Pencemaran boleh memudaratkan kesihatan manusia. Pencemaran udara menyebabkan manusia bernafas dalam udara yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti asma. Pencemaran iklim pula mengakibatkan penipisan lapisan ozon di atmosfera dan mewujudkan kesan rumah kaca. Penipisan lapisan ozon menyebabkan cahaya ultra ungu matahari yang berbahaya kepada kulit manusia menembusi atmosfera. Kesan rumah kaca pula mengakibatkan suhu bumi meningkat sehingga boleh mencairkan ketulan air batu di kutub utara atau selatan. Akibatnya paras air laut akan meningkat.

Pencemaran juga boleh mengakibatkan hakisan dan tanah runtuh. Pencemaran tanah disebabkan oleh aktiviti pembalakan, pertanian dan juga pembinaan. Kawasan yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terkena hakisan dan tanah runtuh ialah di kawasan tanah tinggi. Kejadian tanah runtuh amat berbahaya kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga harta benda. Oleh itu, adalah kurang selamat bagi manusia membina rumah kediaman berhampiran dengan tanah tinggi.

Sumber air juga adalah sangat penting kepada kehidupan harian manusia. Manusia memerlukan air sebagai sumber minuman dan juga sumber protien. Sumber air yang tercemar menyebabkan air tersebut beracun dan tidak selamat diminum. Lebih malang lagi manusia kehilangan sumber protien kerana hidupan air seperti ikan akan mati. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh aktiviti pembuangan sisa kumbahan, sisa toksik dan minyak kenderaan ke dalam parit, sungai atau laut.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memastikan keadaan pencemaran alam sekitar berada pada tahap yang minimum. Adalah malang jika kita menunggu sehingga keadaan menjadi parah ibarat telur di hujung tanduk baru kita hendak berusaha mengawalnya. Keadaan menjadi tidak berguna sekiranya nasi telah menjadi bubur.

KARANGAN PERIBAHASA


Contoh Karangan Jenis Peribahasa

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” seterusnya menjadi amalan berguna untuk menentukan kejayaan sesebuah negara.
Huraikan pandangan anda terhadap pernyataan di atas.
“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.
Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.
Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk di kalangan jiran tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka.
Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan. Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu di kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal.
Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.
Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “Bersatu teguh bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa “Bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.

WAWANCARA


Contoh Karangan Jenis Wawancara

Andaikan anda seorang pemberita. Anda ditugaskan mewawancara seorang pegawai polis di sebuah bandar di tempat anda bertugas. Wawancara itu membincangkan peranan pihak polis dalam mencegah masalah jenayah. Sediakan wawancara itu dengan lengkap.
Masalah jenayah sering dikaitkan dengan tugas dan peranan polis. Dalam membenteras masalah tersebut, polislah yang bertanggungjawab memastikan setiap individu dan masyarakat terselamat daripada ancaman tersebut. Untuk mengetahui peranan pihak polis ini, saya selaku pemberita ditugaskan mewawancara Penguasa Yusuf Majid, seorang pegawai polis di bandar ini. Kita ikuti wawancara tersebut.

Pemberita :Selamat pagi, tuan. Apa khabar?

Pegawai Polis :Selamat pagi. Khabar baik.

Pemberita:Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada tuan kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara. Pertamanya, polis dan undang-undang sering diibaratkan sebagai aur dengan tebing. Kedua-duanya begitu rapat dan sering berjalan seiring. Apakah pandangan tuan tentang perkara ini?

Pegawai Polis:Ya, pasukan polis merupakan penguat kuasa undang-undang yang tama. Ini bererti tanpa polis, undang-undang yang ada tidak bermakna kerana undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasakan. Sebaliknya, tentulah sukar untuk pihak polis menjalankan tugas jika sesebuah negara tiada undang-undang. Jika tiada undang-undang yang berkaitan dengan jenayah, tentulah tugas polis untuk membenteras jenayah tidak kesampaian. Jadi polis dan undang-undang mempunyai kaitan yang begitu rapat.

Pemberita:Bolehkah tuan huraikan dengan lebih jelas, bagaimanakah undang-undang boleh digunakan oleh polis untuk memerangi jenayah di negara kita?

Pegawai Polis:Sesuai dengan peranan polis sebagai penguat kuasa, maka undang-undang yang berhubung dengan jenayah menjadi panduan dan sering digunakan oleh pihak polis. Antaranya termasuklah Kanun Keseksaan dan Kanun Atur Cara Jenayah. Antara jenayah yang dikaitkan dengan Kanun Keseksaan adalah mencuri, merompak, merogol, mencederakan orang, penipuan, dan sebagainya. Kanun Atur Cara Jenayah pula telah memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap atau seumpamanya terhadap penjenayah yang melakukan jenayah-jenayah tadi.
Pemberita:Cuba tuan jelaskan tentang kewibawaan pasukan polis dalam menangani masalah jenayah.

Pegawai Polis:Kewibawaan dan prestasi pasukan polis sebenarnya bergantung kepada cara mereka melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang. Untuk itu, pihak polis mesti menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama. Jika terdapat sesuatu kesalahan jenayah, pihak polis akan bertindak tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang. Pihak polis juga mesti berani untuk memerangi jenayah. Oleh sebab itu, kita dapati banyak penjenayah menjadi mangsa keberanian dan kewibawaan pihak polis. Kadang kala anggota polis terpaksa berkorban apa sahaja demi menjaga keamanan negara. Mereka terpaksa mengorbankan masa, cuti, keluarga dan nyawa apabila bertugas.

Pemberita:Tugas sebagai anggota polis tentu menghadapi pelbagai cabaran atau risiko yang membahayakan keselamatan polis itu sendiri. Cuba tuan berikan pandangan?

Pegawai Polis:Ya, sebagai anggota polis, kami memang mengetahui adanya pelbagai implikasi dan risiko di hadapan. Misalnya, jika berlaku kes rompakan, pihak polis mungkin terpaksa berbalas tembakan dengan perompak. Jika bukan perompak, mungkin pihak polis yang menjadi mangsa. Ada kalanya penjenayah ini tidak takut berdepan dengan pihak polis. Oleh sebab itulah mereka berani melawan anggota polis kita. Selain itu, pihak polis juga kadang-kadang menghadapi cabaran masyarakat. Kami sering kali juga menimbulkan rasa takut dan prejudis orang ramai. Oleh sebab itu, kerjasama masyarakat sukar diperoleh untuk mengatasi kes-kes jenayah.

Pemberita:Sebelum kita mengakhiri wawancara ini, apakah harapan tuan terhadap masyarakat atau orang ramai untuk mengatasi masalah jenayah?

Pegawai polis:Kita memerlukan kerjasama orang ramai. Tanpa kerjasama dan komitmen orang ramai tentulah sukar untuk kita membenteras masalah jenayah. Mereka harus melaporkan kepada pihak kami jika berlaku sesuatu kejadian jenayah dan mereka juga tidak harus melindungi seseorang penjenayah. Berilah kerjasama, penghormatan, dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis demi keselamatan dan keamanan negara.

Pemberita:Saya juga berharap penjelasan tuan akan menjadi renungan kepada masyarakat kita. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas kesudian tuan.
Pegawai Polis : Sama-sama.